Pada zaman dahulu, ada seorang tua yang sangat rajin mengusahakan kebun kurmanya. Pokok kurmanya hidup subur. Apabila tiba musim buah kurmanya masak, dia akan menyuruh orang-orang miskin memetik hasil kebunya itu. Setelah selesai, dia akan membayar upah yang sepatutnya kepada mereka. Dia juga tidak lupa mengeluarkan zakat kepada orang-orang yang memerlukan bantuan.
Namun begitu, sifat pemurah orang tua tersebut tidak disenangi oleh anaknya Qabir. Qabir mengatakan, jika sifat pemurah itu terus diamalkan mereka tentu akan mati kelaparan. Sikap Qabir itu ditentang pula oleh adiknya Qadir. Qadir mengatakan bahawa semua harta benda didunia ini adalah milik Allah S.W.T. Kita cuma diamanahkan untuk menjaganya sahaja.
Melihat pertengkaran antara kedua-dua anaknya, orang tua tersebut mula memberi nasihat.
"Wahai anak-anakku! Bila aku mati nanti, kebun itu akan menjadi hak kamu berdua. Jagalah nikmat Allah itu dengan sebaiknya. Tetapi, jika kamu bakhil maka Allah akan menarik balik nikmat itu sekaligus," kata orang tua itu.
Dengan takdir Allah, orang tua itu meninggal dunia juga akhirnya. Hartanya dibahagikan kepada anak-anaknya untuk diusahakan. Hasil kebun semakin bertambah. Oleh itu timbullah perasaan tamak haloba dihati Qabir. Qabir merancang untuk memetik hasil kebunnya pada awal pagi setiap hari. Dia yakin tentu fakir miskin tidak akan datang meminta pekerjaan.
Tetapi, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Malam itu turunlah bencana besar yang membakar hangus semua kebun kurma mereka. Alangkah terkejutnya Qabir keesokan harinya melihat keadaan kebun kurmanya itu.
"Semalam kebun itu subur menghijau. Bagaimana ini boleh terjadi?" kata Qabir kepada adiknya.
"Bukankah ayah sudah berpesan, hendaklah kita mensyukuri nikmat Allah dan tidak bersifat tamak haloba. Mungkin inilah balasan Allah terhadap kita," jawab adiknya Qadir pula.
Lalu timbullah rasa insaf di hati Qabir. Dia segera memohon ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T.
Moral:Kita janganlah bersikap tamak haloba kerana apa yang kita miliki di dunia ini tidak kekal selama-lamanya. Bak kata pepatah "Orang yang tamak, selalu rugi". Jadikanlah cerita ini sebagai teladan dan pengajaran untuk kita semua.
SMKBT2's Fan Box
SMKBT2 on Facebook
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Sign by Danasoft - Get Your Free Sign
Tiada ulasan:
Catat Ulasan